Tuesday, June 29, 2010

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NYALAS

Sekolah Menengah Kebangsaan Nyalas terletak kira-kira 60 km dari bandar Melaka dan 30 km dari bandar Jasin. Idea penubuhan SMK Nyalas telah timbul ekoran daripada kesedaran masyarakat setempat tentang pentingnya kemudahan pendidikan anak-anak mereka di kawasan ini memandangkan sekolah menengah yang terhampir jaraknya kira-kira 15 km. Isu pembukaan sekolah baru ini telah dikemukakan dan dibincangkan di semua peringkat kepimpinan DUN Bukit Asahan.
Kajian mengenai lokasi sekolah dan sekolah penyalur selesai dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Melaka pada 6 Ogos 1993. Oleh itu, SMK Nyalas telah mula beroperasi mulai sesi persekolahan Disember 1993 / 1994 dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Nyalas pada sesi petang sementara menunggu bangunannya sendiri siap dibina. SMK Nyalas diasaskan dengan guru perintis seramai 12 orang dan 2 orang kaki tangan bukan guru yang diketuai oleh Tuan Haji An. Karim Bin Daud, sebagai pengetua, Encik Abed Bin Md Deh sebagai GPK 1, Encik Hamzah Bin Mohd Taib sebagai GPK HEM dan Encik Sarip Bin Jumaat sebagai GPK Kokurikulum.
Murid-murid perintis sekolah ini terdiri daripada seramai 145 orang pelajar. Mereka merupakan pelajar kelas Peralihan seramai 23 orang dan pelajar-pelajar Tingkatan Satu yang terdiri daripada 4 buah kelas seramai 122 orang pelajar. Sekolah penyalur bagi SMK Nyalas terdiri daripada sekolah-sekolah rendah yang berhampiran seperti SK Nyalas, SK Masjid Baru, SK ( F ) Bukit Senggeh, SJK ( C ) Toon Hua, SJK ( T ) Bukit Keledek dan SJK ( T ) Ayer Kuning Selatan, Negeri Sembilan.
Majoriti ibu bapa pelajar-pelajar SMK Nyalas adalah peneroka Felda Bukit Senggeh, peladang-peladang ( petani ), bekerja sendiri dan peniaga. Hanya 5% merupakan kakitangan kerajaan. Tegasnya, majoriti ibu bapa pelajar tergolong dalam SES rendah.
SMK Nyalas berpindah ke kawasan dan bangunannya sendiri pada 1 Disember 1994 setelah kebenaran menduduki bangunan baru diperolehi pada 28 November 1994. Bangunan sekolah ini dibina di bawah peruntukan RMK IV melalui projek pembinaan “ Pasang Siap ” iaitu merupakan projek pasang siap yang pertama dan terakhir di negeri Melaka. Keseluruhan kos pembinaan bangunan dan kemudahan-kemudahan di sekolah ini ialah RM 5.4 juta dan keluasan sekolah ini ialah 14.2 hektar. Upacara penyerahan kunci telah diadakan di antara pihak pemaju Gading Binaan Sdn Bhd dengan Jabatan Pendidikan Melaka yang diwakili oleh Encik Asahari Bin Hasan, Ketua Unit Pembangunan dan Bekalan, Jabatan Pendidikan Melaka.
SMK Nyalas mempunyai 5 buah blok bangunan iaitu 2 buah bangunan 4 tingkat, 3 buah bangunan 2 tingkat, sebuah bangunan kantin, sebuah dewan, sebuah bengkel MPV, sebuah bangunan PJK, sebuah surau, sebuah bangunan makmal komputer.
Kemudahan fizikal yang disediakan ialah Bilik Darjah 25 buah, Makmal Sains 6 buah, Perpustakaan dan Pusat Sumber, Bilik Tayang / APD, Kantin Sekolah, Bilik Bimbingan Kaunseling, Bilik Lukisan Kejuruteraan, Bilik SPBT, Bilik Cetak, Bilik Geografi, Pejabat Pentadbiran, Bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Komputer, Bilik Pengetua / GPK, Bilik Guru, Kedai Koperasi, Bengkel Teknologi Kejuruteraan, Bilik Gerakan, Padang Permainan yang memuatkan trek 400m, Gelanggang Serbaguna, Bilik Sejarah, Surau As-Sobirin, Bilik PJK, Dewan Serbaguna ( ubahsuai daripada bengkel pertanian ), Bilik Rawatan Kesihatan, Bilik Pendidikan Khas, Pondok Pengawal, Rumah Bomba, Bengkel MPV ( Tanaman Makanana ), Bengkel Pendidikan Seni, Bilik Peperiksaan Penilaian dan Bilik Pengawas.
Dengan terbinanya Sekolah Menengah Kebangsaan Nyalas ini, wujudnya Pusat Sumber Sekolah yang sehingga kini digunakan oleh para pelajar.

No comments: